Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidaklah ALLAH menurunkan penyakit kecuali beserta dengan ubatnya.”
“Aku dah terbaring di tilam ni bertahun-tahun dan kau cakap sakit ini
ada hikmahnya?” , “Kau cakap sakit ujian tuhan. Tapi, aku dah bersabar
sepuluh tahun dengan kanser ni tapi aku tetap tak nampak hikmahnya. Apa
yang aku nampak, duit aku dah beribu-ribu habis untuk ubati penyakit
ni.” , “Aku rindu dengan diri aku yang dulu. Aku nak menikmati kehidupan
seperti orang lain. Aku sentiasa berdoa agar ALLAH sembuhkan sakit aku.
Tapi, sakit aku tetap tak sembuh-sembuh sampai sekarang. Aku rasa mati
lebih baik daripada hidup.”
Setiap luahan kata-kata yang disalurkan melalui emosi memang susah untuk
didebati apa lagi untuk diselami.
Orang yang sakit sering bermain dengan emosi. Emosi yang mendalam yang
hanya dia dan Penciptanya yang mengerti. Kerana itulah orang yang
dilimpahi kesakitan dan penderitaan lebih gemar bermain perasaan dengan
berkarya dan meluahkannya dalam bentuk syair atau puisi. Itulah hebatnya
mata pena. Sesungguhnya, ALLAH itu Maha Besar lagi Maha Agung. Dia
lebih tahu apa yang Dia rancangkan. Kesakitan itu memang ada hikmahnya.
Sesungguhnya, sakit itu adalah ujian kesabaran daripada ALLAH untuk kita
semua yang bergelar hambanya tidak kira apa agama sekalipun. Seperti
sabda Rasulullah Saw,
“Sangat menakjubkan urusan orang-orang mukmin itu. Mereka menerima
semua persoalan hidup sebagai kebaikan baginya. Apabila kegembiraan yang
diterimanya ia akan bersyukur dan itu adalah kebaikan baginya. Dan
apabila kepedihan yang diterimanya maka ia bersabar dan itupun merupakan
kebaikan pula baginya.”.
Sesungguhnya, kesyukuran itu tanda keimanan, dan kedurhakaan adalah
tanda kekufuran. Sakit adalah penggugur dosa-dosa hamba-Nya.
Penyakit yang diderita seorang hamba menjadi sebab diampuni dosa yang
telah dilakukannya termasuk dosa-dosa setiap anggota tubuhnya
Rasulullah Saw bersabda, “Setiap getaran pembuluh darah dan mata
adalah kerana dosa. Sedangkan yang dihilangkan Allah dari perbuatan itu
lebih banyak lagi.”
Sakit juga menyelamatkan insan daripada seksaan api neraka yang sungguh azab.
“Rasulullah S.a.w pernah bersabda, bahwasannya sakit kerana demam itu akan menghindarkan orang Mukmin dari seksa api neraka.”
Sakit membawa manusia itu sentiasa mengingati ALLAH Tuhan Yang Agung
lagi Maha Berkuasa.
Apabila sakit itu singggah menghampiri, lidah kita pantas menyebut,
“Aduh, sakit Ya ALLAH.” , “Ya ALLAH, sakitnya!”. Tatkala sakit itu sudah
menjadi tamu di tubuh kita dengan mudahnya menerobos masuk ke
salur-salur darah hanya kalimat itu yang mampu kita ucapkan. “ALLAH!”
Maka beruntunglah orang yang selama ini lalai dan leka daripada
mengingati ALLAH lalu ia ditimpakan kesakitan yang datang tanpa
diundang.
Oleh itu, maka benarlah sakit itu satu anugerah. Sakit membuatkan kita
mensyukuri nikmat ALLAH.
No comments:
Post a Comment