Friday, 31 March 2017

PUISI PANTAI









Puisi Pantai

Melarik ombak yang berlari di gigi pantai
Dalam gundah melara
Melukah di pergentingan perahu yang tak berpenghuni

Angin hiba menafsir lara
Samar cahaya purnama tidak bermaya
Menerka untaian kata yang tercipta

Perahu terus beroleng
Menanti si nelayan membawa mimpi dalam mimpi
Pantai ini bukan lagi keluhan sang perindu
Menanti dipijak dan diinjak
Menunggu dan berlalu
Keluh resah mu itu
Membuai aku ke alam dulu.

Tatkala sepasang sejoli berpimpin tangan
Di hati mereka pastinya ada resah
Hilai tawanya bukan secebis nota lama
Kerana mereka tahu
Pantai yang dipijak ini
Bukan dogma untuk  sang pertapa.

Cahaya semakin melarut.
Bersatu bersama warna senja yang tenggelam di ombak rindu.
Gigi pantai semakin berubah
Ombak yang mendesir semakin jauh
Hati semakin kelam menanti pelaut dan mimpinya.
Di sini kah malamku hilang
Atau subuh nanti mentari terbit di pesisir laut.

wahai malam. di saat pasir tempatmu berpijak pergi ditelan ombak, akulah lautan yang memeluk pantaimu.

F.O
31 mac

Sunday, 15 January 2017

PASTI DIRINDU

Pasti dirindu

Rindu itu pasti tiba suatu hari nanti
Sama seperti rindu yang bertandang sepanjang pencarian
Tika itu mungkin kita tiada lagi
Mungkin juga mereka tiada lagi
Rindu pasti berpanjangan.

Usah bercita menjadi sang perindu setia
jika noktah tidak sama tempatnya
jika simpang tidak bertanda
jika mimpi tidak sewaktu dengannya

Raikanlah saat ini tika rindu boleh diubat
Tika laung boleh disahut
Tika mata boleh melihat
Tika rasa boleh dinikmat

Rindu pasti menjadi rencah pelengkap.

DNA
Januari 2017
Sahabat menjadi cinta itu biasa
Agak luarbiasa jika sebaliknya.
Semoga kita bisa mengikat ukhwah hingga ke syurga.


Sebahagian wajah-wajah sahabat...